i-Sinar Tanpa Syarat Bermula 8 Mac 2021 Maksimum RM60,000

i sinar tanpa syarat

Sukacita diumumkan, daripada maklumat terkini KWSP, kesemua ahli kini boleh membuat pengeluaran i-Sinar tanpa syarat bermula 8 Mac 2021. Kerajaan mengekalkan jumlah wang yang boleh dikeluarkan namun akan menghapuskan syarat yang ditetapkan sebelum ini. Kini istilah kategori 1 dan kategori 2 tidak terpakai lagi mulai 8 Mac. Walau bagaimanapun, ahli yang telah membuat permohonan i-Sinar sebelum 8 Mac tidak perlu membuat sebarang tindakan. Berikut adalah kenyataan rasmi daripada pihak KWSP.

“KUALA LUMPUR, 18 Februari 2021: Berikutan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa ahli di bawah umur 55 tahun yang telah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac 2021. Ini termasuk mana-mana permohonan baharu yang diterima selepas tarikh tersebut, tertakluk kepada baki yang sedia ada dalam Akaun 1 ahli.

KWSP menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli ketika pembaharuan ini dilaksanakan kerana pemansuhan kriteria i-Sinar yang diumumkan pada 11 Februari 2021 melibatkan perubahan besar kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online.

Jumlah pengeluaran i-Sinar tanpa syarat serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, seperti di bawah:

a.   Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

b.   Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan Akaun 1 mereka. Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Pemansuhan kriteria i-Sinar juga bermakna pembayaran interim RM1,000 yang dilaksanakan pada bulan lepas akan dihentikan.

KWSP menasihatkan ahli yang belum pernah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar sebelum ini dan berhasrat untuk memohon pada tempoh peralihan, untuk menangguhkan permohonan mereka sehingga i-Sinar yang telah dikemaskini dilancarkan pada 8 Mac. Ini akan memendekkan masa yang diperlukan untuk proses permohonan mereka dan mempercepatkan pembayaran wang i-Sinar.

Sehingga kini, sejumlah RM18.5 bilion telah dikeluarkan di bawah kemudahan i-Sinar sejak permohonan dibuka pada bulan Disember 2020, memanfaatkan 3.3 juta ahli.”

Sumber: https://www.kwsp.gov.my/ms/-/simplified-approval-for-i-sinar-beginning-8-march-2021

One comment

Add Comment

Required fields are marked *. Your email address will not be published.